Sunday, May 10, 2009

Udang Sentiasa Segar

Bagi mengelakkan udang berbau busuk dan sentiasa segar, perahkan air limau nipis semasa hendak menyimpannya ke dalam peti sejuk. Cara ini juga menjadikan udang lebih tahan lama.

Thursday, May 7, 2009

Ramping Dengan Buah Epal

Bagi yang ingin perut kelihatan ramping dan langsing, apa kata gunakan buah epal. Buah yang kaya dengan vitamin A,C dan potasium ini baik untuk membuang sel-sel kulit mati. Caranya mudah saja, ambil dua sudu besar gula merah, dua sudu besar gula pasir, satu sudu besar epal yang telah dihancurkan dan sedikit serbuk kayu manis. Campurkan semua bahan tadi dan sapukan di kulit yang lembap ketika mandi. Gosok dengan gerakan memutar lalu bilas dengan air bersih. Setelah selesai mandi, sapukan losen.

Pisang Cantikkan Kulit

Apa yang anda perlukan hanyalah bahan-bahan seperti pisang, strawberi, epal, lobak merah dan juga avocado. Selain berkhasiat terutama dalam hal penghadaman, pisang juga berfungsi dalam kecantikan kulit. Kupas pisang masak dan ambil seperempat bahagian kemudian lumatkan. Sapukan di wajah dan biarkan selam 15-20 minit sebelum dibersihkan dengan air suam diikuti dengan air sejuk atau ais. Keringkan wajah dengan tuala yang lembut.

Buah Delima Langsingkan Tubuh

Sudah jemu dengan produk pelangsingan yang tidak memberikan kesan yang positif? Cuba kaedah ini, bukan sahaja menjimatkan tetapi juga selamat daripada kesan sampingan. Ambil isi buah delima dan masukkan ke dalam segelas air yang telah dicampurkan dengan sedikit garam. Amalkan dengan minum setiap pagi selepas serapan.

Hilangkan Tahi Lalat Hidup

Ada yang menyenangi kewujudan tahi lalat hidup di wajah tetapi ada juga sebaliknya. Bagi yang berhasrat untuk menghilangkan tahi lalat hidup, tumbuk seulas bawang putih separuh lumat. Gosokkan pada tahi lalat dan jika diamalkan selalu tahi lalat tersebut akan hilang.

Tambah Susu Badan

Susu ibu ternyata banyak kebaikannya pada bayi. Bukan sekadar mengenyangkan anak kecil tapi juga mampu merapatkan hubungan antara ibu dan anak. Bagi ibu yang kekurangan susu badan, rebus daun turi muda dan makan bersama nasi. Amalan ini dapat menambah susu ibu.

Bersihkan Kuku Tangan & Kaki

Kuku yang bersih melambangkan kebersihan diri. Ambil limau kasturi dan potong kepada dua bahagian. Gosok limau pada kuku jari dan bilas dengan air suam. Kuku akan kelihatan bersih berseri.

Ubi Sengkuang Cerahkan Kulit

Inginkan kulit yang cerah tanpa memerlukan rawatan wajah yang mahal? Ambil sengkuang, parut dan perah untuk mendapatkan airnya. Biarkan seketika untuk mendapatkan pati perahan. Sapukan pada wajah dan amalkan sekali seminggu. Wajah anda lebih halus dan berseri.

Bunga Ros Kerap Berbunga

Hampa rasanya jika bunga yang ditanam tidak menjadi. Untuk mengatasinya, potong kecil kulit pisang dan kambus ke dalam tanah pokok bunga ros sebagai baja. Amalkan cara ini tiga kali seminggu. Insya-Allah, anda pasti tersenyum melihat hasilnya dan tanam pokok ros anda akan lebih kerap berbunga.

Redakan Tangan Yang Pijar

Selepas memotong cili, tangan akan terasa panas dan pijar. Atasinya dengan segenggam beras dan ramas berulang-ulang pada tangan.

Ikan Yang Digoreng Tidak Melekat


Untuk memastikan ikan dan ayam yang digoreng tidak melekat pada kuali, ambil dan belah dua sebiji bawang putih. Masukkan ke dalam minyak dan goring seperti biasa.

Membersihkan Lebihan Minyak

Minyak masak yang kelihatan kotor setelah menggoreng ikan boleh diatasi dengan memasukkan beberapa potong ubi kentang semasa menggoreng. Dengan cara ini anda dapat berjimat.

Biskut Tahan Lebih Lama

Cara terbaik untuk menyimpan biskut agar tahan lama dan tidak berbau hapak adalah dengan menaburkan sedikit gula pasir ke dalam bekas menyimpan biskut. Setelah itu, masukkan biskut dan tutup rapat.

Kacang Hijau Cepat Empuk


Ramai yang menggemari bubur kacang hijau. Tetapi kacang hijau perlu direbus dahulu. Ada sesetengah orang mengambil masa berjam-jam untuk memastikan kacang hijau empuk. Cara paling mudah dan cepat memasaknya ialah dengan merebus menggunakan api sederhana perlahan, mungkin ramai menganggap ia lambat tetapi cubalah. Anda akan percaya ianya cepat empuk. Petua ini juga boleh digunakan untuk merebus daging dan juga bubur nasi.

Cuci Periuk Hangit


Periuk nasi yang hangit pasti menjadikannya hitam dan berkerak. Untuk mengembalikannya seperti sedia kala, ambil dua batang serai bersama daunnya serta beberapa kulit kerang. Potong serai tersebut serta daunnya diramas sekali. Masukkan bersama-sama kulit kerang dan rendamkan periuk tersebut selama sejam. Biarkan air dari daun dan batang serai meresap ke dalam kerak hangit dan membantu menanggalkan kesan tersebut. Setelah itu, gosok periuk menggunakan kulit kerang berserta serai pada tempat yang hangit dan cuci seperti biasa. Insya-Allah periuk bersih seperti sedia kala.

Cekam Di Kaki

Masalah cekam di kaki kadangkala membuatkan kita kurang selesa. Jika dibiarkan berterusan, membuatkan kaki mengeluarkan bau yang kurang enak. untuk menyembuhkan cekam tersebut, tuangkan air suam ke dalam baldi. Kemudian masukkan beberapa asam keping dan biarkan selama dua minit. Rendam kaki yang ada cekam selama 15 minit. Lakukan setiap hari sehingga cekam tersebut sembuh.

Jerawat Tidak Berparut

Jerawat tidak diundang akan meninggalkan parut yang hodoh pada kulit wajah. Untuk mengatasinya, ambil sedikit tepung kanji dibancuh dengan putih telur. Larutkan dan sapukan pada jerawat yang timbul di muka. Cara ini tidak meninggalkan parut bila jerawat mulai sembuh.

Air Kelapa Penawar Denggi


Ambil beberapa helai daun pucuk betik jantan, dikisar lalu perah airnya. Kemudian campurkan dengan air kelapa. Amalkan meminumnya, Insya-Allah demam denggi akan sembuh dan paras bacaan darah akan naik.